Wednesday, September 1, 2010

RODA DAN TAYAR

1. Roda dan tayar bertanggungjawab ke atas tindakan keselamatan dari segi kuasa, sistem gantungan, penyerapan, stereng dan brek. Tayar diperbuat daripada getah dan dipasang pada roda rim.

2. Tayar ialah bahagian yang bergolek di atas jalan raya sebagai pembawa sesebuah kenderaan.
Tayar dikenali sebagai pneumatik, yang bermakna ia diisi dengan angin untuk menyerap dan memberikan keselesaan apabila kereta berada di atas lubang atau rintangan jalan.



3. Kebanyakan tayar kereta biasa mempunyai tekanan angin sehingga tahap 25-35 psi (paun per uit inci kuasa dua) mengikut saiz garis pusat rim. Untuk mendapatkan panduan tekanan angin pada tayar, anda boleh merujuk kepada carta tekanan mengikut saiz rim yang selalu terdapat di pusat servis atau tempat memasukan angin pada tayar kereta di pusat servis yang berdekatan.

4. Selepas memasukkan angin atau menukar tayar ataupun menukar rim, pengimbangan roda perlu dibaut. Pengimbangan roda terutamanya roda depan dilakukan bagi membolehkan roda bergolek tanpa gegaran pada kelajuan yang berubah-ubah.

5. Tayar kenderaan terdedah kepada pelbagai keadaan dan kerosakan yang boleh mengakibatkan pergerakan kenderaan tidak stabil. Antara kerosakan yang dapat dikenal pasti ialah:

a. Tayar cepat haus.

b. Roda bergegar semasa kereta dipandu dengan laju.

c. Roda tanpa tiub sentiasa berkurangan angin.

d. Bunga tayar haus berlebihan di sebelah dalam.

e. Bunga tayar haus berlebihan di sebelah luar.


Rujukan : http://www.anon-qber.com/search?updated-min=2010-01-01T00%3A00%3A00%2B08%3A00&updated-max=2011-01-01T00%3A00%3A00%2B08%3A00&max-results=37

SISTEM BAHAN API


1. Sistem bahan api bertujuan membekalkan bahan api yang secukupnya daripada tangki ke karburetor mengikut keperluan enjin supaya enjin dapat beroperasi dengan baik dan sempurna.



2. Terdapat 2 jenis pam bahan api pada sistem ini, iaitu pam bahan api jenis elektrik dan pam bahan api jenis mekanik.
3. Pam bahan api elektrik beroperasi menggunakan kuasa elektrik daripada bateri dan pam jenis ini banyak digunakan pada kereta model lama seperti Austin mini dan beberapa lagi model kereta buatan Eropah.

4. Pam bahan api jenis mekanik pula digunakan pada kebanyakan kereta terkini kecuali enjin pancutan bahan api eletronik. Memandangkan pam mekanikal mempunyai komponen yang sering berfungsi pada setiap masa enjin beroperasi, maka ia akan mengalami pelbagai jenis kerosakan dan kegagalan berfungsi dengan sempurna.

5. Antara kerosakan atau masalah yang sering dialami, adalah seperti yang berikut:

a. Pam gagal menghantar bahan api ke karburetor.
b. Pam tidak membekalkan bahan api yang mencukupi ke karburetor.

Rujukan : http://www.anon-qber.com/2009/12/sistem-brek.html

SISTEM BREK

1. Brek yang dipasang pada kenderaan bertujuan untuk memberhentikan atau memperlahankan kenderaan daripada terus bergerak apabila diperlukan. Operasi sistem brek biasanya menjadi satu perkara yang paling mustahak bagi setiap pemandu. Keupayaan pembrekan memainkan peranan penting dalam pemanduan kereta bermotor.



Nuffnang Ads



2. Terdapat 2 jenis system brek yang digunakan oleh kenderaan masa kini, iaitu system brek hidraulik dan sistem brek mekanikal. Kebanyakan kenderaan masa kini menggunakan teknologi sistem brek hidraulik kerana kuasa pemberhentikannya lebih baik daripada brek mekanikal.
3. Brek hidraulik menggunakan kuasa bendalir hidraulik untuk beroperasi. Bagi brek hidraulik, ia dipasang gabungan brek cakera dan brek gelendong. Brek cakera dipasang dibahagian roda depan manakala brek gelendong dipasang di bahagian roda belakang.
4. Ini bertujuan, sekiranya mana-mana satu brek tersebut mengalami kegagalan berfungsi maka brek yang satu lagi dapat menyelamatkan keadaan untuk memberhentikan kenderaan.
5. Brek merupakan peranti yang menggunakan kuasa geseran untuk memperlahankan atau memberhentikan mekanisme atau komponen brek seperti gelendong brek atau cakera brek daripada terus bergerak. Dalam sistem tersebut terdapat berbagai-bagai kerumitan berlaku, yang boleh menggagalkan kenderaan daripada berhenti seperti yang dikehendaki oleh pemandu. Antara kerumitan yang sering berlaku adalah:
a. Brek hilang kuasa memberhentikan kenderaan.
b. Kereta hanya berhenti selepas injak brek ditekan jauh ke bawah.
c. Brek menyebabkan kereta tertarik ke sebelah.
d. Brek mencekam.
e. Brek menyeret.
f. Brek mampung.
g. Brek tangan tidak berfungsi




Rujukan :http://www.anon-qber.com/2009/12/sistem-brek.html

PENGETAHUAN ASAS MINYAK PELINCIR

Pengenalan Minyak Pelincir


Enjin adalah nadi untuk sesebuah kenderaan. Komponen-komponen enjin pula majoritinya menggunakan bahan-bahan keluli yang melakukan pergerakan tertentu setiap kali enjin beroperasi. Pergerakan komponen-komponen ini akan menghasilkan tekanan dan haba yang akan mengakibatkan kehausan pada komponen-komponen yang bergeser. Jadi, untuk meminimumkan masalah ini, minyak pelincir digunakan.

Secara asasnya, minyak pelincir akan berfungsi menyerap tekanan dan geseran yang boleh menyebabkan kehausan komponen-komponen enjin. Selain daripada cecair penyejuk dan pengaliran udara, minyak pelincir juga turut memainkan peranan utama dalam fungsi pengawalan dan penyerapan haba yang terhasil daripada operasi sesebuah enjin. Enjin-enjin yang berkapasiti lebih kecil (seperti motosikal 4 lejang) akan bergantung semaksimum mungkin kepada minyak pelincir dalam mengawal suhu enjin, selain daripada aliran udara.



 

Mengenali API dan SAE



          ‘API’ adalah singkatan kepada ‘American Petroleum Institute’ (Institut Petroleum Amerika). Ia adalah sebuah badan yang mewakili industri petroleum dalam penggalian, pengeluaran, penghantaran, penapisan dan pemasaran. Ia juga bertanggungjawab dalam bidang kaji selidik dan pengkelasan produk petroleum. Pengeluar-pengeluar minyak pelincir akan merujuk kepada piawaian ‘API’ untuk menentukan kelas dan gred minyak pelincir keluaran mereka.

 

          Sementara ‘SAE’ pula adalah singkatan kepada ‘Society of Automotive Engineers’ (Persatuan Jurutera Automotif). Ia adalah sebuah badan yang terlibat secara langsung dalam kaji selidik  berkenaan sesuatu produk yang berkaitan dengan industri automotif termasuklah minyak pelincir.

 

Gred Minyak Pelincir



Minyak pelincir untuk sesebuah enjin kenderaan terbahagi kepada dua kategori, iaitu ‘monograde’ (gred tunggal) dan ‘multigrade’ (pelbagai gred). Minyak pelincir ‘monograde’ adalah minyak pelincir yang hanya mempunyai satu kelikatan tunggal (samada semasa sejuk atau panas). Harga minyak pelincir jenis ini adalah lebih murah berbanding minyak pelincir ‘multigrade’ dan biasanya digunakan untuk kenderaan/jentera berat dan lasak atau untuk enjin kenderaan ringan yang telah berusia. Kadar kelikatan SAE 40 adalah sangat popular yang terdapat dipasaran hari ini.

 

Sementara minyak pelincir jenis ‘multigrade’ pula bermaksud, sesuatu minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang boleh berubah daripada lebih cair semasa suhu sejuk kepada lebih pekat apabila kepanasan suhu meningkat. Kos pengeluaran minyak pelincir jenis ‘multigrade’ ini lebih tinggi berbanding minyak pelincir jenis ‘monograde’ tadi. Selalunya, minyak pelincir ‘multigrade’ dapat dikenal pasti daripada label yang tertera pada botol / bekas minyak pelincir tersebut.

Minyak pelincir ‘multigrade’ adalah dirujuk dengan 2 kadar kelikatan. Contohnya; SAE 10W/30, SAE 15W/50, SAE 20W/50 dan sebagainya. Konsonan ‘W’ adalah bermaksud ‘Winter’ atau ‘Wet’ iaitu kadar kelikatan sewaktu suhu enjin sejuk. Di negara-negara bermusim sejuk / salji, minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan rendah adalah sangat penting bagi memudahkan enjin kenderaan dihidupkan. Manakala angka selepas tanda palang adalah bermakna kadar kelikatan sesuatu minyak pelincir itu apabila suhu enjin panas. Semakin besar angka tersebut, semakin tinggi daya tahan minyak pelincir itu terhadap kepanasan suhu operasi enjin.

Walaupun di Malaysia tidak mempunyai musim salji, minyak pelincir ‘multigrade’ ini juga turut memainkan peranan dan ia juga telah menjadi satu standard yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan. Anda boleh merujuk kepada Buku Panduan Pemilik yang biasanya dibekalkan oleh setiap pengeluar kenderaan. Untuk kegunaan di Malaysia, penggunaan minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang lebih tinggi semasa enjin panas adalah lebih digalakkan. Ini kerana majoriti pemandu-pemandu di bandar-bandar besar di negara ini biasanya menghadapi masalah kesesakan lalu-lintas. Apabila kenderaan terhenti-henti, sistem penyejukan enjin yang biasanya mengharapkan kepada bantuan pengaliran udara akan menjadi kurang efisien. Kadar suhu operasi enjin akan meningkat dan pada masa inilah minyak pelincir akan memainkan peranan dalam membantu menyerap haba yang terhasil daripada operasi sesebuah enjin. Minyak pelincir yang mempunyai gred API yang lebih tinggi biasanya akan berfungsi lebih baik. 

SISTEM PELINCIRAN

1. Sistem ini bertujuan untuk mengurangkan geseran dan kehausan pada setiap komponen yang bergerak di dalam enjin serta menghindarkan kepanasan yang mungkin terjadi akibat daripada pergeseran komponen-komponen tersebut. Bahan pelicin tersebut termasuklah minyak enjin, minyak gear, minyak pembeza dan minyak gris.

 2. Enjin kereta mengandungi bahagian dan komponen yang minyak pelincir dapat mengalir melaluinya bagi mengurangkan pergeseran dan kehausan. Minyak pelincir enjin melicinkan semua jenis galas, aci engkol, aci oleng, omboh dan gelang omboh serta dinding silinder.

3. Dengan adanya bahan pelincir ini yang memainkan peranan sebagai pemisah antara dua permukaan komponen yang bergerak maka geseran dan kehausan dapat dikurangkan. Dengan ini minyak enjin seharusnya memainkan pelbagai peranan seperti yang berikut:

a. Mengurangkan pergeseran.
b. Menyerap lantunan enjin semasa kitaran kuasa.
c. Menjadi penebat antara gelang omboh dan dinding silinder.
d. Menyejuk dan membersihkan bahagian dalaman enjin.

4. Memandangkan sistem ini sentiasa berfungsi selagi enjin beroperasi, pelbagai jenis kerosakan pada komponen-komponen tidak dapat dielakkan. Antara kerosakan yang sering berlaku berkaitan dengan sistem ini, termasuklah:

a. Penggunaan minyak pelincir yang berlebihan.
b. Lampu amaran minyak pelincir tidak padam setelah enjin dihidupkan.
c. Tekanan minyak pelincir terlalu rendah.
d. Tekanan minyak pelincir terlalu tinggi.
e. Titisan minyak di bahagian bawah kereta.

rujukan : http://www.anon-qber.com/2009/07/sistem-pelinciran_26.html